Sunday, May 07, 2006


Tajuk Buku : Dari KUALA ke TANJUNG Memoir Seorang Guru Melayu
Penulis : Mohd. Nor Long
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur
Tahun : 2004
Sumber : Sanggar Tamadun (Pusat Sumber dan Kajian GPTD)

Mengisahkan seorang guru dilahirkan pada tahun 1933 di sebuah kampung bernama Kampung Masjid Port Weld (Kuala Sepetang) yang menjadi pelabuhan di negeri Perak. Weld berasal daripada nama gabenor Negeri Selat ketika itu, Fredick Weld. Selepas merdeka, Sultan Idris mengembalikan semula Port Weld kepada nama asalnya Kula Sepetang. Begitu juga dengan nama Teluk Anson kepada Teluk Intan dan Bukit Maxwell kepada Bukit Larut.

Di dalam bab ini tidak hanya mengisahkan asal usul tempat beliau dilahirkan tetapi mengisahkan bagaimana beliau hampir menjadi ustaz. Bermula dengan kejayaan mendapat Sijil Pertama bersama rakan sedarjah, Mansor ketika pengumuman keputusan peperiksaan Darjah Lima. Dengan keputusan ini membolehkan mereka untuk bekerja dengan kerajaan, menjadi polis, tentera atau budak pejabat. Tetapi datuknya mengharapkan beliau agar menjadi seorang yang alim agama menggantikan datuknya sebagai seorang imam dan guru al-Quran. Soal kerjaya tidak terlintas di fikiran beliau kerana ingin meneruskan pelajaran ke Darjah Enam. Tetapi peluang itu amat terbatas disebabkan faktor ekonomi.

Pada masa yang sama, berita tentang kekosongan guru agama atau ustaz tersebar disebabkan berlakunya Perang Dunia Kedua ramai guru agam terkorban dan melarikan diri. Sistem pendidikan agama dilakukan orang perseorangan tidak seperti pendidikan agama di negeri Johor yang diuruskan oleh kerajaan negeri. Tetapi terdapat juga sekolah agama yang mahsyur di Perak seperti Maahad II Ihya Assarif, Gunung Semanggoldan Madrasah al-Idrisiah, Kuala Kangsar.

Namun cerita tidak menarik minat beliau untuk mengikutinya kerana pembelajaran yang tinggal bersendirian di dalam pondok yang jauh terpencil dari keluarga. Bermulalah pembelajaran agama termasuklah ilmu tauhid, tasauf, tajwid dan lain-lain lagi yang diajar seorang ustaz secara rasmi di masjid yang tidak jauh dari rumah beliau. Sejak sebelum Perang Dunia Kedua lagi pendidikan agama di ajar di luar waktu persekolahan. Tetapi pendidikan agama ini tiada pula diadakan sebarang ujian untuk menilai yang dapat memastikan kemajuan beliau dalam bidang agama.

Ketika itu beliau berumur 14 tahun menghadiri temuduga dengan berbekalkan ilmu agama yang diajar tanpa sebarang dokumen yang diadakan di Sekolah Melayu (L) Taiping. Pada malam sebelum temuduga, beliau bermalam di rumah bapa saudara yang tinggal di rumah pekerja New Club. Tepat pada waktu yang dijanjikan, beliau menghadirkan diri bersama barisan calon yang lain yang kebanyakannya berkopiah putih melambangkan orang kuat beragama. Ada dua peringkat ujian iaitu ujian bertulis dan ujian lisan. Paling mendebarkan ialah ujian lisan.

Pelbagai persoalan diajukan dengan meminta segala sijil dan dokumen. Selepas itu disuruhnya untuk membaca al-Quran dengan nada yang gemuruh tetapi mengikut hukum-hukum tajwid. Selesai membaca diajukan soalan seperti ditanyakan berapa ketinggian beliau. Dengan terpinga-pinga beliau menjawab tidak tahu berapa ketinggiannya.

Nasihat salah seorang ahli panel tersebut mengatakan bahawa beliau tidak cukup ketinggian kerana murid-murid yang bakal diajarnya kebanyakan lebih tinggi dari beliau dan menyuruhnya agar menyambung pengajian. Di sini kita boleh lihat bahawa bukan sahaja ilmu pengetahuan menjadi ukuran bahkan fizikal kita perlu dititik beratkan. Tetapi sesungguhnya beliau seorang gigih dan bersemangat dalam melakukan sesuatu perkara.

No comments: